Wednesday 9 December 2009

Tragedi

Semua orang pasti ada pengalaman yang tidak mampu mereka lupakan. Begitu juga dengan diriku. Pengalaman ini banyak mengajar aku erti persahabatan, erti kekeluargaan,erti kehidupan dan nikmat kesihatan. Sesungguhnya aku amat bersyukur padaMu Ya Allah di atas segala nikmat yang telah Engkau berikan.

Pada hari itu, tergerak hatiku untuk bertemu dengan kawanku, Mohd Firdaus Mubing. Entah mengapa pada hari itu hatiku teringin sekali untuk bertemu dengan Firdaus...

Selepas selesai solat Isyak, Yusuf Mustafa datang bertandang ke rumahku. Kami pun keluar bersama-sama ke rumah Firdaus.Ketika itu kelihatan dua orang lelaki Arab yang sedang berdiri di atas jalan raya berhampiran dengan rumahku.Memang sudah menjadi satu kebiasaan, apabila menjelang malam akan kelihatan ramai orang-orang Arab lalu lalang di hadapan rumahku.Oleh kerana itu, aku tidak mengambil kisah tentang kedua-dua orang lelaki Arab itu.Apa yang lekat di ingatanku hanyalah pemakaian mereka, salah seorang daripada mereka memakai mafla dan snow cap.Selain itu, seorang daripada mereka itu tinggi dan yang seorang lagi itu rendah berbanding rakannya.

Kami pun berjalan melepasi mereka sambil memberi salam ketika melalui mereka. Tetapi mereka tidak menjawab salam kami dengan penuh. Aku menoleh ke arah mereka sekilas pandang.Kemudian kami meneruskan langkah kami ke rumah Firdaus.Tiba-tiba aku mendengar bunyi detakan kaki seolah-olah ada orang yang sedang berlari ke arah kami dari belakang.Belum sempat aku menoleh, kedua-dua tanganku telah dipegang kuat oleh orang Arab yang berbadan besar itu dan disebabkan itu aku tidak dapat bergerak. Tambahan pula lelaki membawa pisau bersamanya dan mengacukan pisau itu ke pinggangku.Aku menjadi panik dan tidak berani untuk bergerak dan bergelut dengan lelaki Arab itu kerana bimbang kalau-kalau pisau itu mengenaiku.Yusuf cuba untuk melepaskan diri dan bergelut dengan seorang lagi lelaki Arab yang merupakan rakan kepada lelaki Arab yang mengancamku dengan pisau itu.Nasib Yusuf baik kerana lelaki Arab yang menyerangnya itu tidak membawa sebarang senjata.

Ketika Yusuf sedang bergelut, lelaki Arab yang mengancamku dengan pisau itu memintaku duit dan "handphone". Masih terngiang-ngiang di telingaku kata-kata lelaki Arab itu"masori-masori" dan "mobile".Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Memang ketika itu aku tidak membawa duit dan "handphone" bersama.Tiba-tiba aku terasa pahaku ditikam. Sakit yang teramat.Hanya Tuhan sahaja yang tahu sakit yang aku rasai ketika itu.Lelaki Arab itu kemudiannya melepaskanku dan melarikan diri dengan membawa pisau yang penuh dengan darahku.Darah mula mengalir dari pahaku.Aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa.Aku terjatuh lalu terduduk di tepi longkang Abu Ain.Aku tidak mampu untuk bergerak apatah lagi bangun. Darahku keluar semakin banyak dan laju.Sedaya upaya aku cuba untuk menutup bekas tikaman itu dengan pakaianku,namun darah tetap keluar dengan banyaknya..dan tidak mampu untuk menghalangnya lagi..aku semakin lemah..

Aku menyebut-nyebut nama Penciptaku sebanyak-banyak yang mungkin dan mengharap pertolongan daripadaNya..Aku menjerit meminta pertolongan.Dari bahasa Arab ke bahasa Inggeris hingga ke bahasa Melayu.Ada orang Arab yang membuka pintu untuk melihat tetapi tiada bantuan diberi.Mungkin mereka tidak berani kerana bimbang kalau-kalau perkara yang sama akan menimpa mereka atau mungkin juga kerana mereka tidak melihat kejadian rompakan dan tikaman itu maka mereka tidak tahu bahawa aku di pihak yang benar dan aku adalah orang yang dizalimi.Beberapa minit kemudian, aku melihat Yusuf datang kembali ke arahku.Syukur Alhamdulillah..akhirnya ada orang yang dapat aku harapkan untuk menolongku."Yusuf..cepat panggil teksi..aku luka ni..,"kata aku kepada Yusuf dengan suara yang lemah dan tenggelam timbul, ditambah pula dengan perasaan yang bercampur-baur dan tertekan.Yusuf pun cepat-cepat pergi meminta bantuan. Aku menjadi semakin lemah, penglihatanku semakin kabur dan aku tidak mampu untuk bertahan lagi. Aku melihat Yusuf membuat panggilan dan kemudiannya aku sudah tidak sedarkan diri.

Sedar-sedar sahaja, aku sudah berada di atas ambulans dan dalam perjalanan ke hospital. Pada ketika itu kaki kananku terasa sakit sekali.Tidak pernah aku rasa sakit seperti itu seumur hidupku.Dan yang paling sakit ialah dada aku.Bagaikan ingin tercabut jantung aku ketika itu.Aku mula tercungap-cungap kerana tidak cukup oksigen(metabolic acidosis).Rasanya seperti dadaku ditekan-tekan dengan sekuat-kuatnya.Banyak kali aku hanyut tetapi aku cuba sedaya-upaya menahan diri supaya tidak pengsan lagi.Aku bimbang kalau-kalau aku tidak akan bangun lagi. Banyak kali aku meminta air kerana terasa haus yang teramat..Barulah aku tahu bagaimana rasanya orang Palestin yang tercedera dalam perang menentang Israel itu.Namun begitu, ujian kecil ku ini tidaklah dapat disamakan dengan orang-orang Palestin..kerana mereka kehilangan harta dan keluarga..manakala aku masih mempunyai keluarga yang amat mengambil berat dan menyayangi diriku dan sahabat-sahabat yang sentiasa mengambil berat tentang diriku..Di kesempatan ini,aku ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan sahabat-sahabat yang telah banyak membantu, menjaga dan mengambil berat tentang diriku..Terima kasih semua..

No comments: