Thursday 18 September 2008

Pulang ke Malaysia

Ibarat sireh pulang ke gagang.Atau ikan pulang ke lubuk.Barangkali itulah istilah yang sesuai.Setelah berakhirnya semester musim panas setiap tahun,aku akan pulang kembali ke Malaysia.Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa nak balik setiap tahun?Tak membazirkah?

Di sini bukan soal membazir atau pun tidak.Soalan yang perlu ditimbulkan ialah apa faedahnya pulang setiap tahun.Mengapa tidak dijarangkan menjadi dua tahun sekali atau tiga tahun sekali sahaja?Biar aku perjelaskan satu persatu.

Pertamanya,tujuanku adalah untuk mengembalikan semangatku untuk belajar.Refresh kembali.Sepanjang aku di sini,motivasi untuk menggerakkan diriku belajar semakin hari semakin malap.Aku hilang tumpuan belajar 'especially' di akhir-akhir semester setiap tahun.Kenapa jadi begitu?Entahlah,aku pun tak pasti.Mungkin aku terlalu dibawa arus kemewahan hidup di Jordan(pelajar tajaan JPA yang sememangnya terkenal dengan kemewahan yang melampau-lampau berbanding pelajar IPT di Malaysia), atau suasana di sini yang tidak pernah memotivasikan diriku.Dengan kembalinya ke Malaysia,aku akan membakar semula semangatku setelah melihat kejayaan abang-abang dan kakak-kakakku di Malaysia sekaligus melupakan perkara-perkara remeh yang mengganggu pelajaranku.

Tiada program-program motivasikah di sini untuk mengubah personaliti daripada malas menjadi rajin?Bukan tiada,tapi program-program tersebut bagiku tidak pernah mengubah diriku untuk semakin gigih berusaha.Sebenarnya program motivasi tidak penting.Bagiku,motivasi hanya akan datang apabila seseorang itu dalam keadaan terdesak.Perokok mungkin hanya berhenti merokok apabila dia menghidap kanser paru-paru dan hayatnya di hujung tanduk.

Di sini tidak ada yang ingin menyuruh atau memaksa kita melakukan sesuatu.Jika ada yang ingin ponteng kelas,atau yang ingin tidur dari pagi sampai ke maghrib, atau yang ingin melayan movie pada malam-malam exam,tiada siapa yang boleh memarahi.Bukan tiada yang menegur,bahkan aku berterima kasih kepada sahabat-sabahatku yang memarahiku tatkala aku melakukan kesilapan.Namun teguran demi teguran yang diberikan oleh sahabat-sahabatku tidak semua diendahkan.Kadang-kadang teguran itu ibarat mencurah air ke daun keladi.

Teguran ataupun nasihat yang kukira datang dari saudara maraku ini tidaklah memberi impak yang besar untuk aku berubah menjadi seorang yang tekun atau bertambah baik.Berlainan nasihat yang diberi oleh orang tua.Bagiku,orang tuaku semacam ada suatu kuasa veto.Segala permintaan atau kemahuannya mesti dipenuhi.Jadi,dengan kembalinya aku ke Malaysia menguatkan kembali semangatku untuk memenuhi permintaan mereka.Mereka tidak inginkan apa-apa dariku,hanya menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran tanpa mengendahkan perkara-perkara lain seperti aktif berpersatuan,bercinta,ataupun perkara-perkara remeh yang lain.

Selain itu,aku juga pulang untuk menemui kembali ibuku di Malaysia.Jangan salah faham.Bukan aku membezakan kasih sayang ibuku dari mereka yang lain terutama dari ayahku,tetapi aku dapat rasakan ibuku terlalu merindui diriku.Merinduiku lebih dari insan-insan lain di dunia ini.Buktinya melalui panggilan-panggilan telefon yang selalu kubuat ke Malaysia.Dialah satu-satunya insan yang akan menerimaku samada baik atau buruknya aku.Jika aku berjaya suatu hari nanti,dia menerimaku.Namun, jika aku gagal(na'uzubillah)dia tetap menerimaku.Tidak sama dengan insan-insan lain di dunia ini kukira,ibu mempunyai kududukan yang tinggi.Tak perlu aku panjangkan kalamku mengenainya,hanya ingin menyatakan syukurlah aku masih mempunyai seorang ibu.

Kehidupan di Jordan juga tidak sama dengan negara-negara lain.Lebih tepat lagi United Kingdom,europe ataupun Malaysia sendiri.Apa yang ada di sini?Tiada yang istimewa untuk dilakukan apabila cuti tiba.Nak bekerja,tiada kerja.Kalau adapun komisen sangatlah rendah.Tidak seperti di sesetengah negara lain.Tidak hairanlah di Jordan ramai pekerja-pekerja adalah warga Mesir dan Syria.Sepertimana warga Indonesia yang bekerja di Malaysia.Setiap kali cuti semester tiada aktiviti yang menyeronokkan.Cuma boleh tinggal di rumah dan layan movie setiap masa atau bersiar di sekitar dalam dan luar negeri seperti Syria.Syria sudah 4 kali aku lawati.Jordan sudah hampir semua kawasan aku lawati.Hendak ke Turkey,duit tidak cukup.Perbelanjaan lebih mahal dari pulang ke Malaysia Tiada apa yang menyeronokkan lagi.Aktiviti seperti jungle tracking(tiada hutan di Jordan),snorkeling,dan seumpamanya tidak dapat dilaksanakan di sini.Kalau hendak dilakukan juga pun kurasa akan menelan belanja yang mahal,jangan lupa 1 jordan dinar bersamman 4.6 ringgit Malaysia.

Oleh sebab itulah aku rasakan pulang ke Malaysia adalah the best choice untuk diriku.Mungkin ada yang berbeza pendapat denganku.Biarlah,bagiku tiada siapa yang tahu akan dirinya melainkan dirinya dan Allah sahaja.Wallahuaalam.

No comments: